Tanda Lahir

Tanda Lahir

Congenital melanocytic nevus

Dikenali umum sebagai tahi lalat, tanda lahir ini terdiri daripada sel pigmen normal. Ia biasanya wujud sejak lahir, tetapi juga boleh muncul dalam tahun pertama kehidupan. Nevus melanositik kongenital (CMN) dikelaskan mengikut diameter terbesarnya apabila mencapai usia dewasa:

Kecil (<1.5cm)
Sederhana (1.5-19.9 cm)
Besar (20cm dan ke atas)

CMN muncul sebagai lesi berwarna coklat muda hingga gelap yang rata atau sedikit timbul. Lama-kelamaan, ia boleh menjadi lebih tebal. Terdapat sedikit peningkatan risiko perubahan menjadi kanser dalam semua CMN. Namun, risikonya adalah kecil bagi CMN bersaiz kecil dan sederhana, dan lebih tinggi bagi CMN bersaiz besar.

Rawatan CMN bergantung kepada saiz, lokasi dan kesan kosmetik yang mungkin timbul. CMN bersaiz kecil dan sederhana boleh dipantau, manakala CMN bersaiz besar memerlukan perbincangan mendalam dengan pakar dermatologi anda.

Epidermal nevus

Nevus epidermal (EN) ialah tanda lahir jinak yang agak biasa, disebabkan oleh penebalan lapisan atas kulit. Ia biasanya wujud sejak lahir atau kelihatan semasa awal kanak-kanak, dan muncul sebagai plak berwarna coklat yang bertekstur baldu atau berkutil. Ia mungkin berlaku dalam corak linear atau beralun.

EN boleh dibiarkan tanpa rawatan, tetapi jika rawatan diperlukan, terapi sejuk (cryotherapy), elektropembedahan, penyingkiran laser atau pembedahan pemotongan boleh dipertimbangkan.

Nevus sebaceous

Nevus sebaseus (NS) ialah tanda lahir kongenital yang agak biasa dan terdiri daripada bilangan kelenjar minyak yang meningkat. Ia paling kerap berlaku pada muka dan kulit kepala, dan biasanya wujud sejak lahir atau awal kanak-kanak. Ia kelihatan sebagai kawasan tanpa rambut berwarna kuning hingga perang pada kulit kepala, dengan permukaan yang licin atau baldu. Pertumbuhan baru mungkin muncul dalam NS, dan pertumbuhan ini perlu dinilai oleh pakar dermatologi jika perlu.

NS bersaiz kecil boleh dipantau, manakala penyingkiran melalui pembedahan mungkin disarankan bagi lesi yang lebih besar.

Port-wine stains

Ini adalah tanda lahir yang berlaku akibat perkembangan salur darah yang tidak normal. Ia hadir sejak lahir dan paling kerap muncul di kepala, leher dan anggota badan sebagai tompok merah jambu atau ungu pucat. Dengan peningkatan usia, warnanya boleh menjadi lebih gelap dan kulit yang terjejas mungkin menjadi lebih tebal dan berbenjol.

Tanda lahir port-wine yang tidak rumit adalah tidak berbahaya kecuali dari segi kosmetik, tetapi dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh dikaitkan dengan kelainan lain. Berbincanglah dengan pakar dermatologi anda jika anda mempunyai sebarang kebimbangan.

Rawatan laser boleh mencerahkan tanda lahir port-wine dan rawatan awal disyorkan untuk hasil yang terbaik. Rawatan perlu diulang setiap beberapa minggu dan hasilnya berbeza-beza bergantung pada lokasi lesi dan warna asalnya.

Infantile haemangioma

Hemangioma infantil (IH) ialah pengumpulan salur darah kecil dalam kulit, paling kerap berlaku di kawasan kepala dan leher, dan jarang berlaku di organ lain. Ia lebih biasa berlaku dalam kalangan bayi perempuan berbanding lelaki, bayi pramatang dan kembar. IH boleh kelihatan kemerahan, kebiruan, atau kedua-duanya. Ia biasanya tidak kelihatan semasa lahir tetapi menjadi ketara selepas beberapa hari atau minggu kelahiran, dan tumbuh dengan cepat dalam 4–5 bulan pertama sebelum pertumbuhannya menjadi perlahan atau berhenti. IH akhirnya akan hilang secara beransur-ansur pada kadar kira-kira 10% setahun.

Berbincanglah dengan pakar dermatologi anda jika rawatan diperlukan. Pilihan rawatan yang tersedia termasuk ubat topikal dan/atau oral, rawatan laser atau pembedahan.