KEMASUKAN warga asing yang tidak diketahui status kesihatan mereka antara punca penularan semula penyakit kusta selepas negara diumumkan bebas daripadanya awal 1990-an.
Penyakit berkenaan dikatakan kembali selepas negara dibanjiri pendatang asing tanpa izin (PATI) secara amnya mencatatkan kes baharu di antara 200 hingga 300 setahun.
Perunding Dermatologis Pusat Perubatan Pantai, Dr Nazirin Ariffin, berkata dianggarkan 206 kes baharu dilaporkan di negara ini tahun lalu dengan semuanya adalah PATI.
Beliau berkata, dianggarkan kira-kira 216,000 penghidap kusta dilaporkan pada 2016 di seluruh dunia, dengan menyaksikan nisbah 0.29 kes untuk setiap 10,000 penduduk dunia, terdedah kepada penyakit ini.
Katanya, kusta atau dikenali sebagai Hansen atau Leprosy adalah penyakit berjangkit yang disebabkan bakteria Mycobacterium leprae (M.leprae).
Merebak menerusi titisan pernafasan
Beliau berkata penyakit ini boleh merebak namun kaedah penularan tidak diketahui secara tepat. Kebanyakan kes M leprae disebarkan melalui titisan pernafasan daripada hidung atau mulut.
“Seorang pesakit kadangkala berupaya mengeluarkan tujuh bilion bakteria bacilli dalam satu gram tisu. Kuman ini boleh hidup hingga seminggu di luar tubuh manusia terutama di kawasan tropika yang lembap,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, faktor persekitaran yang kotor dan keadaan tempat tinggal yang sesak menyumbang kepada merebaknya penyakit ini, di samping kekurangan zat makanan dan daya tahan badan yang lemah.
“Pada masa sama, penghidap mudah dijangkiti penyakit lain kerana sistem pertahanan tubuh semula jadi mereka lemah selepas diserang kusta,” katanya.
Menyerang semua peringkat usia
Beliau berkata, kusta boleh menyerang semua peringkat usia, tetapi bilangan tertinggi kerap dijangkiti adalah golongan muda berusia antara 10 hingga 14 tahun dan 30 hingga 60 tahun.
“Lelaki berdepan risiko dua kali ganda lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan. Kanak-kanak juga terdedah kepada penyakit ini.
“Mereka yang berisiko ialah individu yang berhubung rapat dengan pesakit kusta, tidak mendapat rawatan dan mereka yang tinggal di negara asal penyakit (endemik).
“Sebaik sahaja pesakit memulakan rawatan, mereka tidak lagi menyebarkan penyakit berkenaan kepada individu lain,” katanya.
Bukan Faktor genetik
Mengulas isu berkaitan, Perunding Dermatologis UiTM Specialist, Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad Kamal, berkata seseorang yang ada hubungan rapat berpanjangan dengan individu berpenyakit kusta dan tidak dirawat selama bulan berkemungkinan boleh mendedahkan individu terbabit turut dijangkiti.
Beliau berkata, mereka yang sihat berjabat tangan atau memeluk, duduk bersebelahan di dalam bas atau ketika makan dengan pesakit Hansen tidak akan dijangkiti.
“Kusta tidak disalurkan daripada seorang ibu kepada bayi yang belum lahir pada masa kehamilan dan melalui hubungan seksual sekiranya pasangan menghidapnya. Kusta bukan penyakit genetik dan tidak diwarisi,’ katanya.
Dr Wan Syameen Afira, berkata apabila penyakit Hansen menyerang seseorang, jangkitan itu boleh menjejaskan saraf, kulit, dan membran mukus (lapisan mukosa).
Kerosakan saraf kata beliau, membawa risiko lumpuh tangan dan kaki. Saraf yang terjejas menyaksikan pesakit kehilangan perasaan atau deria.
“Apabila keadaan ini berlaku, kecederaan seperti luka terjadi tanpa disedari. Pesakit gagal mengesan rasa sakit yang memberi amaran mengenai bahaya badan.
“Pesakit perlu berhati-hati bagi mengelak bahagian badan yang tidak terjejas daripada mengalami kecederaan.
“Jika kusta tidak dirawat, tangan dan kaki pesakit akan lumpuh sedikit demi sedikit, pada masa sama mengecilkan saiz jari kaki dan tangan.
“Bagi mereka yang sudah kronik, pesakit mengalami kesan kehilangan kening dan kecacatan hidung pelana (kecacatan hidung) berpunca daripada kerosakan kepada septum hidung. Ulser kornea dan buta juga berlaku jika saraf muka terjejas,” katanya.
INFO:
Penyakit kusta terbahagi kepada dua iaitu:
1. Kusta Paucibacillary (ujian lepromin positif, ujian calit toreh kulit negatif)
• Kusta Paucibacillary – sederhana dan bercirikan satu atau lebih tompok kulit putih atau merah yang tidak gatal atau sakit.
• Kulit menjadi kering, kasar, tidak berpeluh dan tidak berbulu.
2. Kusta Multibacillary (ujian lepromin negatif, ujian calit toreh kulit positif).
• Dikaitkan dengan radang kulit yang boleh merebak, berwarna merah sama ada rata (patches) atau kulit menebal (plaques).
• Peningkatan lendir hidung menyebabkan hidung tersumbat dan epistaxis (hidung berdarah).
• Multibacilliary – 4 hingga 11 kali ganda lebih mudah merebak daripada Paucibacilliary.
Rawatan:
• Terapi pelbagai ubat (MDT) terdiri daripada rifampicin, clofazimine, dapsone.
• Beri Clarithromycin, ofloxacin atau minocycline.
• Paucibacillary rawatan MDT selama (6 bulan)
• Multibacillary (12 bulan).
• Pengawasan dilakukan selama lima tahun selepas tamat rawatan.
Kesan rawatan:
• Pesakit mungkin mengalami reaksi lepra disebabkan reaksi imunologi terhadap mycobacterium leprae.
• Tanda reaksi lepra termasuk demam, bengkak tangan dan kaki, sakit saraf dan lemah otot.
• Reaksi dikawal dengan penggunaan prednisolone atau immunospressants.
• Pesakit tidak lagi dikategorikan sebagai penyakit kronik
• Boleh disembuhkan menggunakan rawatan MDT.
FAKTA:
• Kusta dikenali sebagai penyakit Hansen atau Leprosy
• Dipercayai penyakit tertua di dunia
• Ditemui oleh pakar Dr G A Hansen.
• Kusta disebabkan jangkitan Mycobacterium leprae, bakteria pada suhu optima 27-30 C untuk membiak.
• Kerap membiak di kawasan kulit dan saraf periferi.
• Menjejaskan kulit, saraf, membran mukosa di salur pernafasan, mata dan testis.
• Bukti penyakit kusta ditemui pada rangka manusia berusia 4,000 tahun di temui di Rajasthan, India.
• Kusta dikesan di Tanah Melayu apabila dibawa pendatang dari China dan India dibawa oleh Inggeris pada abad ke-19.
• Pesakit boleh dikelaskan sebagai mempunyai penyakit Kusta Paucibacillary atau Kusta Multibacillary.
• Permulaannya terdapat Granuloma, iaitu benjolan radang kepada saraf periferi dan membran mukosa pada salur pernafasan dan simptom kulit.
• Granuloma dikesan dengan mikroskop.
• Kadar penularan perlahan
INFO
Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh.
* Dibina pada 1926.
* Seramai 2,000 penghuni terdiri daripada Cina, Melayu, India, Serani, Siam dan lain-lain.
Laporan kes baharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
* Ramai beranggapan penyakit sudah pupus, namun masih wujud di lebih 100 negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
* Di antara 2011 hingga 2015, terdapat 13 negara mempunyai 1,000 kes baharu penyakit Hansen, sekali gus seseorang mungkin berisiko dijangkiti jika tinggal di situ.
Sumber: Berita Harian